Tuesday, March 26, 2013

Tetamu Allah (Umrah) - Part 1 Madinah


لَبَّيْكَ اللَّهُمَّ لَبَّيْكَ، لَبَّيْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ لَبَّيْكَ
 إِنَّ الْحَمْدَ وَالنِّعْمَةَ لَكَ وَالْمُلْكَ لاَ شَرِيْكَ لَكَ
Labbaikallahumma Labbaik
Labbaika Laa Syarikalaka Labbaik
Innalhamda Wan Ni’mata
Laka Wal Mulk
Laa Syarikalak
Aku memenuhi panggilanMu ya Allah aku memenuhi panggilanMu.
Aku memenuhi panggilanMu tiada sekutu bagiMu aku memenuhi panggilanMu. 
Sesungguhnya pujian dan ni’mat adalah milikMu begitu juga kerajaan tiada sekutu bagiMu

Begitu semangat sekali lin melafazkan talbiah ni.. Macam-macam rasa dalam hati sebab tak sangka dapat juga datang menjadi tetamu Baitullah.. Alhamdulillah, tahun ni lin diberikan peluang dan kesempatan dari Allah untuk mengunjungi Baitullah, rumah Allah yang agung.. Memang seakan mimpi dapat mengerjakan umrah seawal ini dan dapat pergi bersama family. Alhamdulillah Allah murahkan rezeki kami dan melapangkan masa kami untuk menziarah Masjidil Haram yang memang dicita-citakan oleh semua umat beragama Islam.
Perancangan sememangnya telah awal kami buat dari bulan Disember 2012 lagi dan tarikh berangkat adalah pada 26 Februari 2013. Kami sekeluarga pergi bersama Abah dan Mama Lin dan juga adik Lin, Nadia menggunakan perkhidmatan Andalusia Travels and Tours. Kami ambil ground package jer sebab ticket dan visa kami telah siapkan di Oman. Sampai pada harinya, kami pun bersiap dan berangkat dari Muscat, jumpa mama abah dan adik di Muscat International Airport sebab transit kat situ. Seronok nya tak terkata, lama dah tak jumpa mereka..
Berjumpa di Muscat International Airport

Lunch dulu
Kami meneruskan perjalanan ke Jeddah yang mengambil masa dalam 3 jam dari Muscat. Sampai di Airport Jeddah, kami berkumpul bersama mutawwif dan di bawa menaiki bas menuju ke Madinah. Perjalanan hampir 6 jam ke sana. Tiba di Madinah pada jam 3 pagi, hati ni merasa seronok sangat dapat mengunjungi Kota Madinah..
"Ya Allah, negeri ini adalah tanah haram Rasul-Mu, dan telah Engkau haramkan ia di atas lisan baginda s.a.w., maka jadikanlah ia penjaga bagiku dari neraka, aman dari seksa dan buruk perhitungan di hari kemudian."
Kami sampai di Mubarak Silver Hotel dan berehat sebentar sebelum ke Masjid Nabawi untuk solat subuh. Di Masjid Nabawi, pelbagai perasaan terasa.. Seronok, rindu semua ada.. Kali pertama menjejakkan kaki ke Masjid Nabawi syukur sangat dapat melihat masjid yang disebut-sebut sebagai masjid Nabi. Fadhilat bersolat di Masjid Nabawi adalah mereka yang bersolat di dalamnya akan mendapat 1000 (lebih afdhal) bersolat di tempat lain. Inilah rupanya, sangat cantik luar dan dalam.
Pintu Bab As-Salam

Yang kubah hijau tu menunjukkan masjid asal yang dibina oleh Rasulullah

Di dalam Masjid Nabawi

Di luar Masjid Nabawi

Payung-payung yang cantik

En Hubby kesayangan
Setelah minum pagi di hotel, kami mengikut mutawwif untuk melawat kawasan masjid, ke tanah perkuburan Baqa' dan juga melihat masjid asal yang dibina Rasulullah iaitu yang mempunyai kubah hijau. Tidak lupa untuk berdoa dan menyampaikan salam kepada Rasulullah dan sahabat-sahabat baginda juga ahli keluarga baginda. Juga umat Islam yang dikebumikan di perkuburan Baqa'. Selepas itu kami dibawa masuk ke dalam Masjid Nabawi untuk berdoa di Raudhah.. Ketika ini, para wanita tidak dibenarkan membawa kamera dan akan diperiksa di pintu masjid.
Pengalaman sewaktu sampai di dalam masjid berdekatan dengan makam Rasulullah, rasa seronok sangat. Dapat menziarah makam Rasulullah, walaupun dari jauh, tetap dapat berdoa dan sampaikan salam kepada Rasulullah.. Juga kepada Saidina Abu Bakar As-Siddiq dan juga Saidina Umar Al-Khattab. Bila beriktikaf di masjid, mengimbas kembali perjalanan dakwah Rasulullah, terasa sedih, sayu dan rindu kepada Rasulullah..
"Salam sejahtera ke atas engkau wahai junjungan yang mulia, Rasul yang pemurah dan penyayang, yang telah dipilih oleh Allah menjadi kekasih-Nya. Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang sebenar-benarnya melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu pesuruh-Nya. Aku bersaksi bahawa engkau telah menyampaikan tanggungjawab risalah dan telah menunaikan amanah, telah memberi nasihat kepada umat dan telah berjihad bagi meninggikan agama Allah, sejahteralah ke atas engkau, berkekalan sehingga hari Kiamat. Ya Allah, ya Tuhanku, berikanlah kebaikan kepada kami di dunia dan kebaikan di akhirat, serta jauhkanlah kami dari seksa neraka. Ya Allah, kurniakanlah kepada jujungan akan kemuliaan dan pangkat darjat yang tinggi serta anugerahkan kepadanya tempat yang terpuji yang telah Engkau janjikan, sesungguhnya Engkau tidak memungkiri janji."
Untuk masuk ke Raudhah, kami perlu berkumpul ikut bahasa. Akan ada sepanduk yang bertulis Bahasa Melayu, so kami semua akan berkumpul di situ bersama jemaah dari Indonesia, Brunei dan juga yang menggunakan bahasa Melayu. Masa yang diambil agak lama untuk masuk ke Raudhah kerana kawasannya sangat kecil bertanda dengan karpet yang berwarna hijau. Jadi kami perlu menunggu hampir 2 jam untuk tiba giliran kami. Dan apabila berpeluang ke menjejakkan kaki di Raudhah, sebuah taman dari taman syurga, tempat yang doa akan mustajab dan diangkat kepada Allah, kami pun mengambil peluang solat dua rakaat dan berdoa. Moga Allah makbulkan doa kami ya Allah..
Gambar dalam Raudhah, hubby yang ambilkan

Sangat ramai orang..
Selain ke Masjid Nabawi dan sekitarnya, kami juga dibawa melawat dan bersolat di Masjid Quba', masjid yang pertama sekali dibina oleh Rasulullah setelah tiba di Madinah. Bersolat di Masjid ini, fadhilatnya bersamaan dengan mengerjakan umrah. Selepas itu kami melawat Masjid Dua Kiblat, Pasar Kurma dan juga Bukit Uhud, tempat di bapa saudara Rasulullah, Saidina Hamzah bin Abdul Mutalib mati syahid dalam Perang Uhud.
Di Bukit Uhud


Bersolat dan beriktikaf di Masjid Nabawi, berdoa di Raudhah, semuanya pengalaman pertama bagi lin, pengalaman yang sangat manis dan akan diingat sampai bila-bila.. Kunjungan terakhir kami ke Makam Rasulullah untuk mengucapkan selamat tinggal, sangat meruntun hati, sedih dan berharap dipanjangkan umur untuk dapat berziarah lagi ke sini..
"Ya Allah, berilah selawat kepada Nabi Muhammad dan keluarganya dan janganlah menjadikan kunjungan ini penghabisan bagiku dengan nabi-Mu, hapuskanlah segala dosaku dengan menziarahinya dan bekalilah aku keselamatan dalan perjalananku serta mudahkanlah kepulanganku ini menuju ahli keluargaku dengan selamat, wahai Tuhan yang Maha Pengasih dari segala yang pengasih."